Jumaat, 29 Januari 2010

"Hati Mereka"


"Hmmmm,dah lama tak menulis".


"Bilalah nak sambung bhgn.3?".


"Mungkin tidak ada rasa untuk menulis"


"Atau mungkin juga tidak punya HATI untuk menulis"
"al-maklumlah"

"HATI ini sibuk melayan hati-hati MEREKA pula".


"InsyaAllah,bilaku punya HATI"


"Akan ku ceritakan pula kisah MEREKA"


"Berikanku hati, bhgn.3"

Selasa, 26 Januari 2010

"Berikanku HATI". Bhgn 2.



Kasih itu lahir daripada simpati.

Sayang itu lahir daripada kasih itu sendiri..


Kasih sayang satu perkataan yang tak boleh dipisahkan dan tidak boleh diceraikan. Kasih sayang itu kekal begitu, dan sentiasa abadi selamanya. Kenapa ya, kalau sebut saja kasih mesti ada sayang. Sungguh orang dulu-dulu itu pandai bermain kata, pandai jua menyusun bait-bait kalam mereka. Sehinggakan perkataan kasih dan sayang itu pun dijadikan dalam satu kalimah 'kasih sayang'. Pandai sungguh. Kasih itu akan hidup sendiri tanpa sayang,dan sayang jua akan sunyi tanpa kasih.


Kenapalah orang dulu-dulu menjadikannya begitu?. Kata nenek,"Kasih itu timbul dari simpati, dan daripada kasih pula timbulnya sayang". Kata nenek lagi, zaman sekarang kebanyakkan orang rasa kasihnya tidak timbul dari simpati. Tetapi timbul dari harta dan kecantikkan duniawi. Mungkin ada betulnya kata nenek. Walaupun didalam hatiku menidakkan kata-katanya,kerana kasih ku bukan dari harta dan kecantikkan duniawi semata-mata.


Kasih sayang itu adalah tali yang menghubungkan sesama insan. Kasih daripada simpati, dan sayang itu dari kasih. Kasih sayang itu bukanlah sesuatu yang perlu diluahkan hanya dengan kata-kata. Tetapi kasih sayang itu jua datang dari hati. Hati yang ikhlas. Berikanlah hati mu...


Khamis, 21 Januari 2010

"Berikanku HATI". Bhgn 1.



Hidup ini...
Banyak perkara yang tidak terungkap dengan perkataan,
perkataan yang membabitkan rasa kasih,rasa sayang,
Perasaan kasih dan sayang manusia kepada sesuatu perkara lain...


Dalam Hidup Ini..
Banyak benda yang tidak dapat diterjemahkan dengan ungkapan,
ungkapan yang mempertalikan manusia dengan rasa syahdu.


Sesungguhnya...
Perkara yang tidak dapat diterjemahkan,
tidak dapat diungkapkan,
merupakan pengalaman manis yang menguji kecekalan diri,
menguji kekuatan hati untuk meneruskan kedewasaan hidup.


Bohong...
Andai manusia tidak memiliki rasa kasih dan sayang sesama makhluk.


Tidak Benar..
Jika manusia tidak memerlukan rasa kasih dan rasa sayang dalam perjalanan hidup.


Pelik...
Andai manusia tidak memahami rasa kasih dan rasa sayang yang wujud,
yang mekar dalam sanubari insan..


Hargailah..
Rasa kasih dan rasa sayang yang dihadirkan dalam diri masing-masing.


Berikanlah...
Hati dengan sepenuhnya.


Sayangilah..
Seperti mana kita disayangi..


Sebelum..
Kasih sayang itu pudar menjelang hari,
kerana ada kasih sayang yang lebih abadi.







Isnin, 11 Januari 2010

Kahwin atau tangguh dulu???

Melangkaui usia dua puluhan, keinginan melonjak untuk mendirikan rumah tangga biarpun masih lagi dalam tanggungan ayah dan ibu. Apatah lagi menerima kad walimatulurus daripada rakan sebaya yang lebih dulu mendirikan rumahtangga. Di tambah pula dengan rakan-rakan yang sudah bertunang. Semua itu membuatkan diri ini lebih melonjak. Ini merupakan senario biasa dalam kehidupan seseorang yamg masih menuntut ataupun yang baru mendapatkan pekerjaan.

Akibatnya ada yang dalam dilema untuk memilih antara dua. Samaada ingin meneruskan pelajaran atau memenuhi naluri semula jadi hidup berpasang-pasangan.

Mungkin ada juga yang benar-benar telah bersedia untuk mengharungi hidup berkeluarga. Namun ada juga yang tersangat mahu walaupun belum mampu. Memang susah untuk membuat pilihan. Kalau ikutkan kata hati lebih baik kahwin. Kata orang tak elok kawan lama-lama. Bagi sesiapa yang menghadapi dilema ini, berada di persimpangan untuk memilih antara dua, sedarilah hakikat. Hakikat samaada diri kita mampu ataupun tidak untuk berkeluarga. Benar-benar bersedia atau tidak untuk memenuhi tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Jika mampu, teruskan. Namun jika tidak,pendamkan dulu keingginan dan tangguhkan hasrat.

Katakanlah kita rasa-rasa sudah bersedia untuk berkahwin. Tapi apa yang menjadi ukurannya???

Berkahwin bukan saja bakal menentukan perjalanan hidup kita, tetapi juga pasangan kita dan keluarga masing-masing. Ia bukan persoalan main-main, dan bukan sekadar main rasa-rasa. Jawablah persoalan agama untuk mengukur dan menilai kedudukan diri sendiri. Adakah kita berada di kalangan mereka yang wajib,sunat, atau makruh berkahwin? Jika persoalan ini dijawab, maka kita akan dapat jalan penyelesaiannya.

Berkahwin sambil belajar???

Macam mana pula kalau berkahwin sambil belajar? Mesti seronok, dapat belajar sama-sama, pergi kuliah sama-sama.....Ops,jangan fikir seronok dulu. Sebenarnya banyak lagi yang perlu difikirkan bukan hanya satu aspek ini sahaja,'ASPEK SERONOK'. Aspek paling penting ialah soal 'SARA HIDUP'. Tidak dinafikan kebanyakkan pelajar mempunyai biasiswa untuk menampung pembelajaran. Benar, biasiswa kekadang ada lebihnya. Tetapi jika dihitung, tolak itu dan tolak ini, ia hanya cukup untuk menampung kos pembelajaran diri sendiri. Ia tidak mampu untuk menampung hidup berdua, dan mungkin bertiga, dan mungkin juga akan bertambah menjadi empat. Lebih-lebih lagi jika tanggugjawab dalam rumah tangga kelak mengganggu tanggungjawab sedia ada sebagai pelajar.

Kalau mampu???

Bagi yang sudah benar-benar mampu, teruskanlah. Tidak ada sebab perkahwinan mesti dilewat-lewatkan. Bagi lelaki, buktikan kemampuan. Tanggungjawab bukan sahaja pada diri bahkan pada isteri. Tambahan bila bertambah pula ahli...

Sesungguhnya jodoh itu ada dimana-mana. Jika Dia memang pasangan kita itulah ketetapanNya. Bagi mereka yang masih belajar,belajarlah. Bila sampai masanya nanti,berkahwinlah. Bagi mereka yang berjanji, amanahlah. Bagi sesiapa yang sudah mempunyai calon pula, semoga terpelihara dan disatukan dalam hubungan yang lebih halal. Bagi mereka yang masih belum mempunyai pilihan hati, insyaAllah akan ada seseorang untukmu...

"Semoga kita semua akan menjadi hamba,anak,murid,kawan, dan saudara yang baik. Serta menjadi suami yang soleh dan isteri yang solehah..Amin...."

Selasa, 5 Januari 2010

A Journey To The Right Path, The road to Makkah.

12 Disember 2007, jam 6 pagi. Ayah dan ibu bertolak ke Makkah dari KLIA. Pemergian yang meninggalkan kami tiga beradik Along, Abang, dan Asyiq di Malaysia. Segala tanggungjawab dan segala urusan adik-adik yang perlu ku uruskan sendiri. Sememangnya menuntut kesabaran dan kekuatan. Aidh al-Adha tanpa sesiapa,hanya kami bertiga. Keputusan tidak pulang ke kampung ku ambil supaya kami dapat beraya bersama. Pemergian ini, mengajarku betapa susahnya untuk menguruskan sebuah keluarga, dan betapa sedihnya ketiadaan ayah dan ibu. Kehilangannya cuma seketika tetapi cukup terasa. Alhamdulillah pada 12 Januari 2008 selamat kembali ke Malaysia. InsyaAllah ku jua akan sampai di sana, Makkah al-Mukarramah.
Sebelum ke KLIA.
Berkumpul di Kompleks Haji,Kelana Jaya.


Mengerjakan ibadah tawaf.









Di hadapan Kaabah.






Pemandangan waktu subuh
di perkarangan Masjidil Haram, Makkah.






Melontar jamrah di Mina.




Masjid Nabawi, Madinah al-Mukaramah.



Perkuburan baqi' di Madinah.


Dalam perjalanan pulang ke Malaysia.









Isnin, 4 Januari 2010

Kenangan Terindah, 27 Jun 2009.

Majlis Khatam Hafaz Al-quran bagi graduan sesi 2006-2009 pada hari Sabtu, 27 Jun 2009 / 4 Rejab 1430 H. Syukran kathiran kepada pensyarah al-Quran, Ustaz Abdul Azizullah bin Jamal Rashid al-Hafiz dan Ustazah Nur Atikah binti Abu Samah al-Hafizah.




Para pensyarah / Guru tasmik



Graduan sesi 2006-2009



Majlis Khatam Hafazan Al-quran

Ahad, 3 Januari 2010

Si Hitam Manis, kawanku.




Pada pertemuan kali ini,saya ingin berkongsi sebuah cerita mengenai seorang kawan saya Si Hitam Manis. Di sebabkan saya banyak bertukar-bertukar sekolah maka beraneka warnalah kawan-kawan yang saya jumpa. Ada Si Hitam Manis, Si Kuning Langsat, Si Putih Gebu, dan tidak lupa kawan saya Si Sawo Matang.


Si Hitam manis,kawanku. Saya mengenalinya sewaktu saya berpindah ke sekolah baru itu. Perkenalan pertama yang dimulakan dengan muka yang masam, bukanlah dengan senyuman yang manis. Maka tika itu, ku berikan namanya Si Hitam Masam. Melihatkan gayanya yang seperti itu, menyebabkan ku menjauhkan diri daripadanya. Hanya diam untuk seketika dan jawab bila di tanya... Tetapi, bila ada sesuatu yang tidak kena maka ku besuara. Lagak dan gaya ku seperti seekor kucing tetapi dia lebih dahulu menjadi seekor Singa. Nampak gayanya, memang tak ada 'chance' langsung nak buat kawan. Sekali lagi ku melabelkannya sebagai musuhku. Jangan la sesekali kawanku yang Si Kuning Langsat itu menyebut namanya, maka akan ku senaraikanlah segala kekurangannya. Kesian kawanku Si Hitam Masam...


Masapun berlalu, dan 'exam' semakin tiba. Pening kepala memikirkan soalan apa yang keluar nanti. SMS ku hantar, ku fikirkan terjawablah segala persoalan. Tetapi makin banyak soalan yang ku sendiri harus selesaikan. Di sebabkan si Hitam Masam tidak tahu orang yang menghantar SMS itu, jadi dia bertanya. Nak ku jawab siapa diri ini ku malu, mana tidaknya diakan musuhku. Mana ada orang minta pertolongan daripada musuhnya sendiri. Tetapi hati Si Hitam Masam tidaklah sehitam hatinya, pertolongan di hulur dan akhirnya 'exam' itu ku lalui dengan mudah. Daripada situlah ku menerimanya sebagai seorang kawanku Si Hitam Manis...

Si Hitam Manis yang ku kenal, tidak pernah menitiskan air mata walaupun ketiadaan seseorang yang di sayanginya. Tidak mungkin ku merasai, apa yang dirasakannya. Ketabahannya itu mengajarku supaya tidak mudah menangis. Dia selalu berpesan padaku supaya kuat. Kadang-kadang masalah di sekolah meruntuhkan semangatku, tetapi ku sedar yang ku tak pernah sendirian. Di sebalik kepayahan di situlah kekuatan, ku jadikan bait kata-katanya ini sebagai kekuatan. Segala masalah dikongsi bersama, ya susah senang kita bersama....

Tentu semua orang mempunyai kawan masing-masing. Tidak kiralah yang Si Hitam Manis, Si Kuning Langsat, atau Si Sawo Matang. Mereka itulah yang mewarnai kehidupan kita. Terimalah jua kawan kita itu seadanya yang dia ada. Sesungguhnya kelebihan yang dia ada mampu menutupi kekurangan kita, dan kekurangannya ditutupi pula dengan kelebihan kita.

Buat kawanku Si Hitam Manis, ketahuilah bahawa kau satu-satunya kawan yang sentiasa berada bersamaku. Menemani ku dalam susah senang ku dan menerima segala kekurangan yang ada padaku. Terima kasih kerana sudi menerimaku sebagai kawanmu.. Sesungguhnya kau bukan Si Hitam Masam tetapi kaulah Si Hitam Manis kesayangan ku.

Kepada semua kawan-kawanku yang lain,ku juga menyayangi kalian. Semoga waktu dan rindu akan mempertemukan kita semua. InsyaAllah...









Sabtu, 2 Januari 2010

Pengalaman yang mengajarku...

Assalamualaikum,salam perkenalan.

Melihatkan teman-teman yang lain telah mempunyai blog masing-masing.....Setelah agak lama berfikir, akhirnya dengan ini saya telah mengambil keputusan untuk mengikuti mereka. Habis semua kawan saya tanya. "Macam mana buat blog", "Blog tu apa", "Blog tu macam FS ke?". Macam-macam soalan yang saya tanya. Maklumlah saya bukanlah pandai sangat segala jenis teknologi-teknologi ni. Jadi bertanya pada kawan adalah 'step' pertama saya. Ha, tengok sekarang saya mempunyai blog sendiri. Alhamdulillah....

Blog saya ini bukanlah bertujuan untuk mencari publisiti murahan, bukan juga untuk 'public figure', dan jauh sekali untuk dikenali ramai. Akan tetapi, cukuplah jika ada seseorang yang mengambil sesuatu daripada apa yang saya ingin kongsikan. Teringat kata-kata guru saya, Ustaz Amiza. Pesan Ustaz Amiza, "Sesungguhnya mata pen itu lebih tajam daripada mata pedang". Mata pen itu adalah penulisan. Ustaz juga pesan, "Penulisan itu juga dakwah". Begitulah nasihat seorang ustaz kepada anak muridnya ini. Betul kata-kata ustaz, penulisan itu DAKWAH. Jika tidak semua orang yang akan terkesan daripada penulisan kita, cukuplah seorang.

Waktu di Itqan dulu, sibuk dengan penerbitan al-Islah. Dari situlah saya belajar menghasilkan sebuah penulisan. Penulisan yang sentiasa perlu di 'edit' setiap kali selepas bacaan pruf dibuat. Maklumlah, kurang kepandaiaan jadi banyaklah kesalahannya. Walaupun penulisan saya pada ketika itu ringkas,kata orang 'Biase-biase je', tetapi pengalaman itulah yang menjadikannya luar biasa. Itulah pengalaman pertama,pengalaman penulisan artikel.

Semoga saya mendapat pengalaman baru. Pengalaman bersama blog saya ini pula. Benarlah kata Cikgu Liza, subjek PENGALAMAN itu tidak akan dapat belajar di sekolah. Akan tetapi subjek pengalaman itu, akan kita dapat apabila kita sendiri yang melaluinya . Saya harap, saya akan belajar sesuatu daripada ini. insyaAllah..

Terima kasih kepada yang sudi membaca. Sekian dulu untuk waktu ini, sampai ketemu lagi.
Wassalam..