Khamis, 25 November 2010

Penyembuh Ujian,Fasobrun Jameel..




Dalam kesibukan hari-hari yang mendatang yang menuntut sebuah tanggungjawab, janji kesibukan yang tanpa henti, keletihan yang tanpa penghujung, kebimbangan dan kerisauan yang tanpa kesudahan.


Kadang-kadang tanpa kita sedari kita telah menyakiti hati seseorang yang amat kita sayangi, dan tanpa kita duga kita telah menzalimi hati seseorang yang amat kita kasihi. Betapa pedih dan peritnya kesakitan hati itu hanya dapat diluahkan dalam buti-butir air mata yang sentiasa mengalir.


Kala itu, hanya kalimah sabar yang menyejukkan hati. Setiap dugaan, mahupun ujian SABAR adalah jalan yang terbaik. Sabar itu tiada tahap, jika sabar itu bertahap maka hilanglah sifat sabar itu. Bukankah sabar itu separuh daripada iman. Ingatlah yang kita bukan bersendirian. Belajarlah bersabar dalam setiap ujian. Pujuklah hati supaya memaafkan walaupun hati terasa disakiti dan dizalimi. Seperti mana sabda Rasulullah S.A.W.:



"Barangsiapa DIUJI lalu BERSABAR, DIBERI lalu BERSYUKUR, DIZALIMI lalu MEMAAFKAN, MENZALIMI lalu BERISTIGHFAR, maka bagi mereka keselamatan dan mereka tergolong dalam orang-orang yang memperolehi HIDAYAH"

( H.r Al-Baihaqi)

Pernahkah kita terfikir. Beradanya kita disaat ini, diketika ini, dengan kejayaan yang kita miliki sekarang, dengan rezeki yang kita perolehi hari ini, adalah daripada doa mereka yang kita tidak pernah kenal dan tahu siapa. Boleh jadi doa daripada ibu bapa, guru-guru, sahabat handai, saudara mara, seseorang yang menyayangi kita, dan mungkin juga dari orang yang hatinya disakiti.

Bukankah malaikat akan mengaminkan doa orang yang berdoa untuk kebaikan saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu. Dan setiap kali kita berdoa untuk kebaikan seseorang, setiap kali itulah malaikat berkata " Amin, dan bagimu juga seperti itu". Seandainya doa kita dimakbulkan, Allah menyayangi kita, seandainya doa kita lambat dimakbulkan, Allah ingin menguji kita, dan sekiranya doa kita tidak dimakbulkan Allah ingin berikan sesuatu yang lebih baik untuk kita.

Ingatlah, walau apa yang terjadi sekalipun itu tanda Allah sayang kepada kita. Kadang-kadang ujian yang mendatang terlalu perit sehinggakan kita terjatuh dan terduduk. Dan pada masa itulah kita sedar hanya Allah yang bersama kita. Mungkin kita terlalu leka sehingga melupakanNya, apabila ditarik sedikit nikmat barulah kita terasa. Kita merintih dan menangis hanya padaNya. Malaikat berkata, Ya Allah adakah Kau makbulkan doa hambaMu ini. Lalu Allah mengarahkan malaikat agar menahan doa hambaNya itu dahulu, kerana Allah sangat merindui rintihan dari hambaNya.

Mudah-mudahan kita dikurniakan sifat sabar. Dengan berkat beradanya kita di Bumi Anbia' ini juga doa kita akan dimakbulkan. InsyaAllah, Amin..

Tiada ulasan:

Catat Komen